(Bahagian 1)
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Hampir 80% daripada pelajar tidak mempunyai matlamat atau tidak tahu apa yang dikatakan sebagai matlamat. Cuba fikirkan sejenak, sekiranya anda tidak pasti apa yang anda mahukan, bagaimana mungkin anda membuat perancangan dan mengatur langkah untuk mendapatkannya? Tanpa matlamat hidup anda akan sia-sia. Tanpa matlamat masa akan terbuang begitu sahajai tanpa disedari.
Imagination is power than knowledge. Ini dipetik dari kata-kata Einstein. Memang benar, imaginasi atau impian itu lebih berkuasa dari ilmu pengetahuan. Sebab, impian akan mendorong tindakan. Impian mencetus kegigihan. Impian yang sungguh-sungguh akan mendorong diri untuk teruskan perjuangan ke arah kejayaan.
Sedarkah anda begitu ramai orang gagal dalam hidup mereka hari ini adalah mereka yang sebenarnya tahu tentang faktor atau penyebab kejayaan. Pulang nanti, sekiranya anda bertemu dengan seorang tukang kebun, cuba tanya dia, "Pakcik..pakcik., pakcik tahu tak kalau waktu sekolah dulu pakcik belajar rajin-rajin, tidak buang masa, tekun.... hari ini pakcik mungkin dah jadi doktor". Apa agaknya kata pakcik itu?? "Tahu..pakcik tahuuu". Lihat seorang yang tahu apa faktor yang boleh merubah masa depan kini berpuashati hanya sebagai tukang kebun??? Inilah masalah anda. Anda tahu apa yang perlu dilakukan untuk berjaya tetapi anda tidak punya matlamat. Tidak punya impian yang cukup kuat untuk melakukan sesuatu tindakan kearah kecemerlangan diri.
Selepas ini, tenangkan fikiran anda sebentar. Fikirkan soalan ini.
Apa yang aku mahukan dalam hidup ini?
Bila aku mahukannya setahun, dua tahun, lima tahun?
Kenapa aku mahukannya?
Bagaimana aku boleh mendapatkannya?
Sekiranya anda mampu memberikan jawapan yang tepat dan jelas terhadap soalan-soalan di atas, syabas!!!... anda sudah punya matlamat.
Contoh matlamat:
Apa?
Aku mahu capai 8A dalam PMR.
Bila?
Tahun 2009
Kenapa?Untuk buktikan pada rakan-rakan yang aku ada kebolehan.Untuk memenuhi hasrat ibu bapa.
Bagaimana?
Aku mesti belajar sekurang-kurangnya 3 jam sehari. Aku mesti melatih 20 soalan setiap hari.Kerja sekolah mesti siap.TV dan sembang-sembang mesti dikurangkan. Pencapaian ujian bulan mesti memberangsangkan.
Cakap tidak serupa bikin. Inilah kelemahan anda. Anda begitu bersungguh-sungguh memperkatakan tentang matlamat and a tapi apa pula tindakan anda? Pastikan setiap kata dikota. Yang membezakan seorang doktor dengan seorang budak kilang ialah tindakan yang diambil sewaktu persekolahan mereka. Tanyakan semua rakan-rakan anda, "besar nanti nak jadi apa?". Saya pasti tidak seorang pun akan memilih untuk menjadi budak kilang. Semua nak jadi doktor, jurutera, peguam. Wah! hebat sungguh cita-cita mereka tetapi tindakan kosong!!!. Oleh itu untuk merealisasikan matlamat di atas tadi, pastikan susuli setiap perancangan dengan tindakan...tindakan...tindakan...
Motivasi Diri:Untuk Berjaya Perlu Ada Matlamat
(Bahagian 2)
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Dalam artikel Bahagian 1 sebelum ini, saya telah membincangkan apa yang dikatakan matlamat dan bagaimana untuk membentuknya. Kali ini mari kita lihat pula kenapa matlamat itu perlu. Kajian di institusi pengajian tinggi menunjukkan 80% pelajar tidak bermatlamat dan ini adalah punca utama pelajar melayu gagal bersaing. Menyedihkan tetapi itulah hakikatnya.
Matlamat memudahkan perancangan. Sekiranya anda ada matlamat, maknanya anda telahpun menetapkan apa yang mahu dicapai dalam suatu tempoh yang tertentu. Ini pastinya memudahkan lagi untuk anda merancang tugas anda setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan.
Contoh: Katakan anda mahu menghabiskan ulangkaji mata pelajaran Sains sebulan sebelum tibanya peperiksaan PMR. Katakanlah, pelajaran Sains itu mempunyai 24 tajuk dan anda kini mempunyai 6 bulan sahaja untuk menghabiskannya (iaitu sehingga sebulan sebelum PMR). Ini bermakna anda perlu menghabiskan 4 tajuk Sains setiap bulan, atau lebih kurang 1 tajuk setiap minggu. Sekiranya anda merancang untuk belajar Sains sebanyak 4 kali seminggu, gunakan 3 sessi yang pertama untuk menghabiskan satu-satu tajuk dan gunakan sessi ke-4 untuk mengimbas semula tajuk tersebut dan menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengannya.
Matlamat meningkatkan komitmen diri. Secara tidak langsung apabila anda punya matlamat maka anda merasakan suatu komitmen perlu diambil untuk memenuhinya. Sebab sekiranya anda terlalai untuk mengikut setiap perancangan yang telah dijadualkan bermakna anda menggadai masa depan anda sendiri. Mata pelajaran Sains seperti di atas tidak mungkin dapat dihabiskan hanya sekiranya anda meletakkan komitmen untuk mengikut jadual harian anda sendiri.
Ingatlah, manusia yang berjaya ialah manusia yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap senarai tugas atau perancangan hariannya.
Matlamat membantu anda membuat keputusan. Dalam kehidupan seharian anda pasti menyedari betapa sukarnya untuk mendisiplinkan diri mengikut jadual harian anda. Malah mereka yang mampu mengikut jadual harian jumlahnya terlalu kecil, hanya sekitar 5% sahaja. Yang lain, sama ada langsung tidak mempunyai jadual harian atau ada jadual tetapi sekadar hiasan dinding dan tidak pernah diikuti. Kenapa ini berlaku? Jawapannya ialan sebab kita bukannya robot dan bukannya mesin yang boleh dijadualkan untuk berfungsi mengikut masa-masa yang ditetapkan setiap hari. Malah saya sendiri tidak yakin bahawa jadual adalah penyebab kejayaan seseorang.
Sebagai manusia kita tertakluk kepada begitu banyak faktor-faktor luar jangka, misalnya anda mahu belajar tetapi mak minta jaga adik, ayah minta pergi kedai. Sebentar lagi ialah waktu untuk buat kerja sekolah tapi di TV pula ada perlawanan akhir bola sepak. Semuanya ini antara penyebab kenapa anda sukar mengikut jadual belajar anda. Tetapi dengan adanya matlamat anda pada bila-bila masa boleh mengubah perancangan harian anda asalkan ia tidak meninggalkan kesan atas perancangan jangka panjang anda. Anda boleh tidak belajar mengikut masa yang ditetapkan tetapi anda perlu ganti semula dan belajar pada waktu yang lain. Yang penting belajar tetap belajar. Yang penting setiap tajuk perlu dihabiskan dalam masa satu minggu seperti perancangan asalnya. Be flexible!!
Matlamat membantu anda mendapatkan pertolongan. Apabila anda mempunyai matlamat anda mula mengatur perancangan. Apabila anda bertindak melengkapkan perancangan, anda mula menyedari dan mengenali kelemahan-kelemahan yang ada pada diri anda. Ini memudahkan anda mendapatkan pertolongan. Anda mungkin perlu berjumpa guru setelah mengetahui ada bahagian-bahagian tertentu dalam sesuatu mata pelajaran yang tidak anda fahami. Anda mungkin bertemu rakan-rakan dan berbincang dengan mereka. Ingat tidak ada rakan yang mahu membantu anda disaat-saat akhir kerana mereka sendiri sibuk menelaah pelajaran untuk menghadapi peperiksaan.
Matlamat pengukur kejayaan. Matlamat tidak akan tercapai dengan angan-angan atau impian kosong. Ia perlu disusuli dengan tindakan. Kejayaan besar yang diimpikan esok hari ialah himpunan kejayaan-kejayaan kecil yang diraih setiap hari. Apakah kayu pengukurnya untuk memastikan yang setiap hari anda berjaya? Bagaimana anda tahu bahawa anda telah berjaya? Pengukur kepada kejayaan ialah matlamat yang telah dirancang. Sekiranya anda telah melakukan tindakan dan menyelesaikan tugas seperti yang dirancang maka anda dikatakan sebagai berjaya. Hari demi hari tanpa anda sedari anda mendaki puncak kejayaan yang lebih besar dan lebih bermakna. Jadi pastikan sekarang bahawa matlamat anda tidak terlalu kecil sehingga ia tidak bermakna, dan tidak pula terlalu besar hinggakan anda rasakan mustahil untuk mencapainya. Tetapkan satu matlamat yang anda begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya.
No comments:
Post a Comment