Thursday, July 30, 2009

Isu-isu dan permasalahan remaja masa kini; Punca-punca dan cara membantu mereka

Isu-isu dan permasalahan masa kini; Punca-punca dan cara membantu mereka

SEJAK KEBELAKANGAN INI, GOLONGAN REMAJA SEMAKIN MENDAPAT PERHATIAN DARIPADA SEGENAP LAPISAN MASYARAKAT. MEDIA MASSA SERINGKALI MENYIARKAN PELBAGAI BERITA DAN CERITA TENTANG KENAKALAN REMAJA YANG MASIH BERSEKOLAH DAN PELBAGAI MASALAH SOSIAL YANG MELANDA MEREKA INI. TEENNET BERPENDAPAT, MENGETENGAHKAN CERITA DAN BERITA SEDEMIKIAN BUKANLAH SEMATA-MATA LANGKAH YANG PERLU DIAMBIL UNTUK MENYELESAIKAN KEMELUT INI. APA YANG LEBIH PENTING, KITA PERLU MENGKAJI DENGAN LEBIH MENDALAM DENGAN MENGENALPASTI ISU SEBENAR, MENYENARAIKAN PUNCA-PUNCA DAN CUBA MENCARI ALTERNATIF PENYELESAIAN TERHADAP PERMASALAHAN INI.

MINGGU INI, KAMI MENYIARKAN SEBUAH KERTAS KERJA YANG DIFIKIRKAN AMAT RELEVAN DENGAN PERMASALAHAN YANG HANGAT DIPERKATAKAN MASAKINI. DIHARAPKAN IA MENJADI SUATU CETUSAN YANG DAPAT MEMBUKA MINDA PARA IBU BAPA DAN MENYEDARKAN REMAJA AGAR LEBIH BERHATI-HATI DI DALAM MENGHADAPI CABARAN HIDUP KINI.

PENDAHULUAN
Adakah benar bahawa zaman remaja merupakan zaman yang penuh dengan pergolakan emosi, hasil daripada pelbagai tekanan? Atau, adakah pergolakan ini hanya semasa remaja dan akan reda apabila sudah dewasa? Bagaimana pula dengan pendapat yang mengatakan bahawa konflik antara remaja dan orang tuanya tidak dapat dielakkan? Akhirnya, betulkah terdapat jurang perbezaan yang besar dari segi nilai antara remaja dan ibu bapanya?

Dengan membaca kertas kerja ini, adalah dijangkakan bahawa anda akan tahu tentang isu-isu masalah sosial kaum remaja, punca-punca dan bagaimana anda boleh membantu para remaja menghadapi isu-isu mereka. Tumpuan khas akan diberikan kepada punca keluarga dan bagaimana mengatasinya.

APAKAH ISU-ISU REMAJA KINI?
Antara isu-isu yang hangat diperkatakan termasuklah:-
1. Penyalahgunaan dadah
2. Melepak
3. Minum arak
4. Melakukan jenayah / kes juvana
5. Lari dari rumah
6. Mengandung tanpa bernikah
7. Melanggar disiplin sekolah
8. Membunuh diri
9. Terpengaruh dengan "budaya kuning"
10. "Anorexia Nervosa" (tidak mahu makan kerana takut menjadi gemuk)
CATATAN PENGARANG:
Isu lain yang perlu diberikan perhatian ialah gejala samseng (gengsterisme), membakar sekolah, ponteng sekolah, peras ugut, merokok, melayari laman web negatif dan terbabit dalam video lucah.

APAKAH KEMUNGKINAN PUNCA-PUNCANYA?
1. PENGARUH PERSEKITARAN

Ini termasuklah pengaruh iklan yang menonjolkan orang langsing, lebih-lebih lagi perempuan, sebagai rupawan dan menarik. Akibatnya, mereka yang gemuk akan merasa terpencil, hina dan sering diejek, lalu mereka mungkin mengamalkan cara menahan diri daripada makan supaya nampak langsing, juga kes yang melampau seperti "anorexia nervosa".

Pengaruh TV, video dan media lain juga mempengaruhi citarasa, gaya hidup dan perubahan nilai hidup. Ini berlaku apabila individu itu meniru model yang diminatinya sebagai contoh, di Amerika ramai remaja yang mengandung tanpa nikah kerana terpengaruh dengan artis-artis yang "single mother" ataupun digalakkan oleh penyanyi seperti Madonna yang menggalakkan mengandung tanpa takut kepada sesiapa pun. Kadangkala kita dapat lihat bagaimana cerita barat menonjolkan cinta yang selalunya berkesudahan dengan mainan asmara. Ini membuat remaja kita merasakan bahawa memang itu adat bercinta.

2. TARAF KEMISKINAN

Antara sebab mengapa remaja lebih suka lepak di luar rumah dikatakan berkait rapat dengan keadaan rumah yang sempit dan anak membesar serta semakin ramai. Lagipun anak remaja sudah mahukan "privacy" dan diri ini tidak dapat diperolehi jika rumahnya sempit dan lain-lain.

Walaupun bukan semua orang kaya itu bahagia, namun kemiskinan boleh merupakan punca tekanan lebih-lebih kepada mereka yang mempunyai nilai kebendaan dan juga untuk mereka yang mencari keperluan asas.

3. PENDIDIKAN

Terdapat banyak kajian yang mendapati bahawa ada hubungan antara pendidikan dan gejala-gejala sosial, remaja yang terlibat dalam kes juvana, menyalahgunakan dadah, agresif, diambil tindakan disiplin di sekolah, adalah mereka yang menghadapi masalah dalam pelajaran mereka. Mungkin kerana kegagalan dalam pendidikan merupakan faktor yang mendorong mereka ke arah gejala sosial.

Pendidikan agama juga merupakan faktor yang boleh mengawal remaja keranan kebanyakan yang "terdidik" dari segi agama dapat mengawal desakan untuk melakukan sesuatu yang merosakkan diri sendiri dan orang lain.

Mungkin juga kerana terlalu ramai pelajar dalam sesuatu kelas menyebabkan guru tidak mempunyai masa yang cukup untuk mempastikan setiap pelajar berkembang dalam seluruh aspek. Aspek-aspek seperti kesihatan fizikal, emosi, mental, moral, sosial dan rohani adalah perlu untuk menjadikan pelajar itu seorang yang "sihat". Seseorang pelajar/remaja yang tidak seimbang pertumbuhannya, akan merasa tertekan dan keadaan ini boleh diubah ke dalam perlakuan yang tidak sihat.

Seperkara lagi, kebanyakan sekolah "melayan" sekumpulan pelajar/remaja dan mengenepikan kumpulan yang lain. Sebagai contoh kumpulan yang sukakan aktiviti bercorak akademik dilayan jika dibandingkan dengan pelajar yang mahu kelas main gitar atau kugiran, umpamanya. Maksudnya masih ada unsur-unsur "apa yang baik bagi guru adalah baik bagi pelajar". (mungkin ada kebenarannya tetapi jika tidak benar?)

4. FAKTOR KELUARGA

ARAK
Kajian menunjukkan bahawa pengambilan arak/alkohol yang berlebihan oleh golongan remaja adalah disebabkan oleh kehidupan keluarga yang kucar-kacir, krisis dalam keluarga dan krisis ibu bapa. Pemabuk selalunya mempunyai ibu bapa yang memberikan terlalu sedikit kasih sayang dan perhatian, ibu bapa juga kurang berminat dengan anak dan jarang berhubung.

Ibu bapa dikatakan menggunakan gaya / stail mengabai atau menolak dalam penjagaan anak-anak. Ibu bapa juga merupakan model yang buruk, mungkin mereka sendiri mempunyai perlakuan yang anti sosial atau kaki botol juga.


DADAH LAIN
Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan remaja yang menagih dadah mempunyai ibu-ibu yang tidak mengikut kelaziman, bertindak mengikut gerak hati, bimbang, agak degil tidak stabil dari segi psikologikal dan menghadapi masalah dalam hubungan dengan orang lain.

Ibu mereka juga sering tidak berpuas hati dengan anak, jarang bersama anak-anak, kurang kawalan ke atas anak dan jarang menegur anak yang menggunakan tembakau dan ganja.


MASALAH JENAYAH/JUVANA
Kajian menunjukkan bahawa terdapat beberapa faktor keluarga yang boleh mendorong seseorang remaja ke arah jenayah:
o hubungan kasih sayang antara anak lelaki dengan kedua ibu bapanya
o cara bapa mendisiplinkan anak lelaki itu
o pengawasan ibu ke atas anak lelaki itu
o kejelekitan dalam keluarga itu
Mereka terlibat dalam jenayah datang dari keluarga yang sering bergaduh, porak peranda, ibu bapa yang tidak mesra dan disiplin adalah tidak menentu serta longgar. Akibatnya, terdapat hubungan emosi yang lemah antara anak dan ibu bapa, oleh itu anak tidak pasti jika perlakuan baik mereka akan mendapat keizinan juga. Apabila remaja ini gagal membentuk kawalan dalam diri atau "meresapkan" nilai-nilai ibu bapa, maka mereka akan menuju ke arah jenayah.


PENDERAAN KANAK-KANAK
Ada kajian menunjukkan bahawa ibu bapa yang mendera mempunyai jangkaan/harapan yang tidak realistik terhadap anak, memikirkan bahawa anak itu boleh bertindak sebagai orang dewasa dan perbuatan salah anak dianggap sebagai sengaja membantah. Ibu bapa yang kurang keyakinan diri dan mempunyai pandangan terhadap diri yang rendah merupakan mereka yang sering mendera anak-anak.

Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa ibu bapa yang mendera pernah suatu masa dulu semasa kecil mengalami penderaan, baik dari segi fizikal atau emosional diabai. Mereka belajar menjadi agresif daripada ibu bapa mereka. Tetapi ada juga pendapat yang mengatakan bahawa tidak semestinya mereka yang didera dahulu akan mendera anaknya sekarang.

Dapatan kajian menunjukkan juga bahawa anak yang didera mendapati sukar untuk mempercayai orang dewasa, menjalin persahabatan yang tidak mendalam, dan sering meninggalkan kawan baru jika ia merasakan bahawa ia tidak diterima. Di sekolah pula, mereka merupakan pelajar lemah, kesepian dan tidak mempunyai kawan.
Antara dapatan-dapatan lain ialah:
o Penderaan sering berlaku apabila ibu bapa mendapat sokongan sosial yang kurang seperti apabila pendapatan dan pendidikan rendah, apabila suasana persekitaran adalah tidak stabil, apabila ibu merupakan penjaga tunggal, juga apabila tidak adanya tempat penjagaan anak.
o Apabila ibu bapa yang "abusive" gagal menggunakan pertimbangan (reasoning) mereka, maka anak-anak tidak dapat "mersapkan" segala peraturan dan undang-undang kerana pertimbangan adalah cara terbaik untuk mengajar sesuatu. Akibatnya anak itu menjadi lebih agresif dan menentang.
o Selalunya anak lelaki menjadi mangsa deraan, mungkin kerana anak lelaki dianggap lebih tahan daripada anak perempuan bagi ibu bapa melepaskan kekecewaan mereka.
FAKTOR IBU
Keadaan bayi yang dilahirkan banyak bergantung kepada faktor ibu jika ibu:-
i. Menghidapi penyakit sifilis, gonorrhea, herpes atau AIDS : anak yang dilahirkan akan mendapat bersama penyakit itu, menjadi buta, mengalami berbagai kecacatan dan lain-lain. Ini adalah kerana penyakit-penyakit ini boleh memecah masuk ke rahim ibu ataupun menjangkiti semasa melahirkan anak.
ii. Merokok: anak mendapat bibir sumbing, lelangit rekah dan bila besar, anak menghadapi masalah untuk memberikan penumpuan. Merokok juga menyebabkan anak mendapat sokongan oksigen yang kurang dab boleh akibatkan pengguguran.
iii. Mengambil dadah: apabila anak membesar anak menjadi resah, sukar untuk duduk diam dan daya ingatannya lemah.
iv. Minum arak: anak jadi terencat akal, buah pinggang rosak, terdapat kerosakan pada tulang belakang dan mendapat kerosakan pada otak. Walaupun ibu minum sedikit-sedikit masih ada kesan seperti anak tidak dapat menumpu perhatian, masa untuk bertindak/reaksi agak lambat, boleh potong bekalan oksigen ke otak janin.
v. Selalu tertekan: perasaan/kecerdasan anak yang dilahirkan selalunya lemah di sekolah (dari segi prestasi) menunjukkan tanda-tanda psikosomatik dan memerlukan rawatan psikaitrik.
FAKTOR KELUARGA
Stail/gaya Keibubapaan Dan Cara Mendisiplinkan Anak
i. Otoritatif - mendesak tetapi responsif
cara disiplin ialah induktif dan juga guna kuasa
ii. Otoritarian - mendesak tetapi tidak responsif
cara disiplin ialah mengguna kuasa
iii. Permisif - tidak mendesak tetapi responsif
cara disiplin ialah induktif
iv. Mengabai - tidak mendesak dan tidak responsif
dan menolak sekali-sekala menggunakan kuasa
Kajian mendapati bahawa yang terbaik ialah stail Otoritatif, kerana anak yang diasuh dan didisiplin cara ini, mendapat skor yang tinggi dalam tanggungjawab sosial (seorang yang murah hati, suka menolong, peramah dan sering memberikan kerjasama), tegas diri dari segi sosial (mereka mengambil bahagian dalam interaksi sosial rasa selesa berbuat demikian dan adakalanya memimpin kelompok itu) dan mempunyai kecekapan kognitif yang tinggi (mereka yang sukakan cabaran intelek dan menghasilkan idea dan pemikiran yang asli/tulen).

Akibat didisiplin dengan cara induktif, menggunakan logik, anak itu membentuk kawalan diri dan menjaga perlakuan walaupun orang tuanya tidak ada di situ. Cara Otoritarian, permisif dan menolak serta mengabai menghasilkan anak yang rendah dari segi kecekapan kognitif. Manakala anak dari stail menolak dan mengabai mempunyai skor rendah dalam semua aspek-aspek itu.

PERCERAIAN
Apakah yang terjadi apabila berlaku perceraian? Anak-anak selalunya menjadi marah, takut, tertekan dan rasa bersalah. Akan berlakunya "hilang rutin" di mana perkara yang selalu dilakukan bersama ibu atau bapa akan hilang terus. Bagi kanak-kanak rutin inilah yang memberi rasa selamat kepada mereka. Apabila rutin sudah hilang, anak ini rasa resah gelisah. Keadaan rumah, pembahagian tugas juga menjadi kelam kabut. Turut hilang ialah segala rancangan yang telah diatur bersama ibu atau ayah, atau antara suami isteri. Selalunya duit juga semakin merosot, kadangkala terpaksa pindah selalu, akan hilang juga sahabat, jiran, keluarga dan juga rakan sekolah.

Anak hilang kestabilan emosi, menjadi terkejut dan anak juga seperti hidup dengan orang lain kerana ibu bapanya sudah berubah "mood" murung. Selalunya ibu lebih murung, marah-marah, tidak sabar, mendisiplinkan anak dengan tidak menentu dan sebagainya. Apa yang malang ialah, ibu akan menggunakan kuasa untuk mengawal, anak membantah dan tunjuk kekasarannya. Akibatnya, kekecewaan.

KEHIDUPAN TANPA BAPA
Anak lelaki lagi terasa, melibatkan prestasi sekolah menurun dan ia mengambil masa yang panjang untuk memain peranan seorang lelaki.

KEHIDUPAN TANPA IBU
Memberi kesan mendalam kepada anak perempuan. Mereka menjadi tidak suka bergaul, bergantung kepada orang lain dan lebih mendesak.


BAGAIMANA MENGATASI MASALAH-MASALAH INI?
Saya ingin mencadangkan 3 Model untuk mengesan dan menangani isu remaja ini:
1. MODEL "DAH KENA BARU BERUBAT"
Walaupun cara ini bukanlah cara terbaik, namun ianya lebih baik daripada tidak membuat apa-apa langsung. Dalam hal ini apabila kita mendapati remaja itu menagih dadah, melepak, minum arak, melakukan kesalahan jenayah/juvana, lari dari rumah, mengandung tanpa nikah, menerima hukuman disiplin di sekolah, cuba membunuh diri (kalau sudah bunuh diri, mungkin kita boleh menolong mereka yang rapat dan masih hidup), mereka yang terpengaruh dengan budaya barat, mangsa penderaan, mereka yang mengalami masalah pemakanan (kes anorexia nervosa) dan lain-lain, kita beri bantuan seperti:-
• Perkhidmatan secara langsung seperti kaunseling (sekurang-kurangnya mendengar dengan aktif);
• Membimbing melalui program-program;
• Menjadi anggota dalam sistem sokongan mereka.

2. MODEL "SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN"
Kita semua tahu bahawa pencegahan adalah lebih baik daripada mengubat, tetapi memang menjadi tabit kepada kita untuk menunggu sesuatu itu berlaku, barulah tindakan diambil. Apakah langkah pencegahan yang boleh dibuat oleh ibu bapa? Antaranya, bagi orang Islam cuba amalkan pendidikan secara Islam seperti sebelum anak dilahirkan, semasa dilahirkan, 7 hari selepas dilahir, antara 8 hari hingga 2 tahun, 2 tahun hingga 11 tahun dan selepas 11 tahun.

SEBELUM DILAHIRKAN

Pemilihan bakal isteri, pembacaan doa di majlis perkahwinan, doa semasa hubungan kelamin, doa semasa mengandung. Doa kerana kita memohon kepada Allah dari segi psikologi, ia merupakan "self-talk" yang positif. Kenduri-kendara semasa perkahwinan boleh merapatkan hubungan ahli masyarakat (elok untuk pembentukan norma masyarakat)

SEMASA LAHIR

Selepas dilahirkan, diazan, diqamat supaya perkataan yang pertama ia dengar ialah perkataan yang rasional - Allah Maha Besar (oleh itu orang lain adalah kerdil; jadi tidak perlu takut kepada orang lain, tidak perlu kecewa jika kehilangan manusia kerdil, dll). Menggosok lelangit bayi dengan makanan manis, tujuannya adalah kerana bukan semua bayi boleh menghisap dengan baik. Lagipun selalunya yang membelah mulut ini adalah tok guru/orang alim yang akan tahu bahawa adanya bakal muridnya nanti. Sekali lagi kenduri kendara boleh merapatkan jurang dalam masyarakat.

SELEPAS LAHIR (7 hari)

Disunat untuk tujuan kesihatan, diberi nama yang baik untuk tujuan komunikasi yang baik, dicukur untuk kesihatan juga, memberi sedekah kepada masyarakat untuk hubungan sosial, menyembelih haiwan sebagai akikah untuk tujuan sosial dan juga membuat anak merasa ia sangat dihargai, ada pengorbanan ibu bapa baginya (banyak belanjanya). Sekali lagi kenduri kendara akan memberikan kesan psikologi pada anak seperti ia disentuh oleh ramai orang dan juga ahli masyarakat dapat mengeratkan silaturrahim - asas untuk pembentukan norma masyarakat.

ANTARA 8 HARI HINGGA 2 TAHUN

Ibu perlu menyusu kerana banyak pembelajaran yang akan dibuat oleh anak pada umur ini. Semasa menyusu, ia berinteraksi dengan ibu, dapat memfokus dan memproses pemerhatian dengan cekap; lagipun pada umur 2 tahun otaknya sedang membesar. Kajian juga menunjukkan bahawa pada umur ini, konsep kendiri (pandangan terhadap diri) juga mula terbentuk. Dari segi psikologi antara umur 7 bulan hingga 30 bulan adalah masa pembentukan ikatan yang sebenar antara anak dengan ibunya; anak merasa yakin apabila ibu berdekatannya, walaupun di tempat yang asing atau ada orang asing di situ, ia akan tertekan jika ibu pergi dari dirinya dan akan mendapatkan ibu apabila ia kembali. Jika wujudnya ikatan sebenar, anak adalah lebih cekap dan bebas dan jika tiada mungkin memberi kesan buruk terhadap perkembangan sosialnya kelak.

ANTARA 2 TAHUN HINGGA 11 TAHUN

Pendidikan tidak formal oleh ibu bapa termasuk gaya disiplin yang induktif, gaya keibubapaan yang otoritatif serta modeling oleh ibu bapa. Kenapa ibu bapa penting dalam kehidupan anak-anak? Sebab-sebabnya adalah :
• Sebagai socializers, ibu bapa menolong anak dalam proses menerap sikap, nilai dan budaya masyarakat. Dengan memberi kasih sayang kepada anak, anak membentuk sifat kepercayaan dan dapat membentuk perhubungan emosi dengan orang lain nanti.
• Sebagai model, anak dapat menerap nilai dan standard ibu bapa.
• Sebagai agen sosialisasi ibu bapa mengajar melalui ganjaran dan hukuman, mendisiplinkan anak dan mengajar nilai-nilai murni dan agama.
• Mereka membekalkan pengalaman kepada anak dan membentuk konsep kendiri anak. Konsep kendiri ini penting dalam kehidupan nanti.

SELEPAS 11 TAHUN (11 HINGGA 20 - UMUR REMAJA)

Apabila anak sudah baligh, pemikirannya sudah boleh mengkaji perkara abstrak, perkara logik, ini bereti bahawa ibu bapa boleh berhujah dengan mereka untuk meyakinkan tentang sesuatu fakta. Ia mungkin gagal, jika anak tidak didisiplinkan secara induktif dahulu, atau hubungan tidak erat antara anak dan ibu bapa (sudah tentu ia kurang mahu mendengar kita) atau gaya asuhan yang menolak-mengabai.

Hujah-hujah logik boleh digunakan untuk menyedarkan ia tentang keburukan lepak, arak, dadah, pergaulan bebas dsbnya sebagai contoh, duduk dan tonton Beverly Hills bersama anak dan bincangkan isu-isu baik dan buruk dalam siri itu. Ibu bapa perlu memahami tentang pemikiran, perasaan dan perlakuan anak muda pada umur ini melalui kursus ataupun pembacaan; kita semua sibuk tetapi ITU ANAK KITA, jangan dah kena baru berubat.

3. MODEL "BERGERAK SAJA, CEKUP"
Model pertama kita membuat pemulihan, model kedua berbentuk pencegahan dan model ketiga adalah antara kedua model awal itu. Maksudnya apabila pelajar atau anak kita menghadapi masalah pelajaran kita mesti masuk campur cepat-cepat atau berlaku penceraian atau ia ditinggalkan oleh ibu bapa (mungkin meninggal) cepat-cepat kita memberi perhatian atau ia mangsa penderaan, pergaulan dengan kawan yang liar, mula mencuri wang, membohong, kelihatan murung, mula abaikan diri, merokok, menyalahguna masa dan lain-lain.

Yang penting kita semua bekerja sebagai satu pasukan mengembalikan norma masyarakat, di mana kita menjaga tepi kain anak jiran kita dengan memberi perhatian kepada apa yang berlaku, - ingat, bergerak sahaja, cekup.

KESIMPULAN
Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa dan keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan pemikiran, perasaan dan perlakuan remaja. Mereka berperanan sama ada membentuk remaja yang cemerlang atau remaja yang gagal. Walaupun remaja mempunya otaknya sendiri untuk memikirkan yang baik dan buruk, namun pengaruh layanan awal boleh menolong dengan berkesan, insya-Allah.

4 comments: