Thursday, July 23, 2015

PROGRAM JUARA SMK BANDAR BARU SENTUL

Baru baru ini pihak UBK telah merancang dan mula menjalankan program JUARA di kalangan pelajar Tingkatan lima yang berpotensi mencapai 6A keatas dalam SPM tahun 2015. Seramai 35 orang pelajar Tingkatan 5 telah dipilih daripada beberapa kelas dan diagihkan kepada kumpulan belajar yang berefektif mengikut keperluan penumpuan matapelajaran matapelajaran penting. Pengetua SMK BBS Pn. Amnah binti Adam turut sendri turun kepadang untuk memantau dan memberi taklimat serta panduan supaya program tersebut berjalan dengan lancar dan berjaya.

Monday, January 19, 2015

PEMBIMBING RAKAN SEBAYA


Sebagai PRS anda perlu sentiasa menghayati falsafah PRS iaitu bantu diri, untuk membantu rakan lain. Dalam usaha membantu rakan, anda mendapat pengetahuan, kemahiran, dan pengalaman untuk meningkatkan kecemerlangan diri. Oleh itu, anda seharusnya berusaha mempertingkatkan diri dari segi ilmu pengetahuan, perlakuan, perhubungan, kreativiti dan keimanan.
Prinsip PRS
Bersedia dan rela membantu rakan yang memerlukan bantuan tanpa mengira agama, bangsa, kedudukan, perlakuan dan fizikal.
Peranan anda sebagai PRS
  • Menjadi rakan yang peka kepada perasaan orang lain dan keadaan sekeliling.
  • Sebagai khidmat sokongan, anda membantu menggerakkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.
  • Sebagai salah satu sumber kepada rakan untuk mendapatkan bantuan.
  • Sebagai pelajar contoh kepada pelajar lain.
Etika PRS
Sebagai PRS anda perlu sentiasa ingat dan patuh kepada etika iaitu :
  • amanah dan menyimpan rahsia
  • menerima dan menghormati rakan dan orang lain
  • memahami batasan dan keupayaan diri
  • sentiasa berusaha meningkatkan diri dari pelbagai aspek
  • melapor kepada guru bimbingan dan kaunseling tentang kes yang boleh merosakkan diri dan/atau orang lain
  • merujuk kes rumit kepada guru bimbingan dan kaunseling
  • mematuhi peraturan sekolah dan norma masyarakat dan agama

Thursday, May 13, 2010

Prinsip-prinsip Kejayaan.

Prinsip-prinsip Kejayaan.

Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D



Kejayaan bukanlah suatu misteri yang tidak terungkap. Ia perlu bermula dalam fikiran
sebelum ia menjadi kenyataan. Terdapat tiga perkara penting yang perlu diketahui
sebelum sesuatu kejayaan itu mampu direalisasikan.

Bertanggung jawab sepenuhnya. Yang pertama, anda perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap siapa anda, apa yang anda capai dan dimana anda berada hari ini. Anda perlu menerimanya, walaupun pahit, tanpa menyalahkan orang lain dan persekitaran. Sekiranya anda tidak mencapai apa yang anda inginkan maka andalah yang bersalah, kalau bukan anda maka siapa lagi? Maknanya kalau anda tidak mengawal haluan hidup anda maka orang lain akan menggunakan segala kebolehan dan potensi yang ada pada diri anda. Hanya dengan anda mengakui hakikat yang penting ini, maka barulah anda boleh menjelajah kehidupan ini dengan lebih berkeyakinan. Anda tahu yang anda punya pilihan lain, selain dari apa yang anda lakukan setiap hari. Ingat, "Hanya anda sahaja yang boleh mengubah hidup anda, bukan orang lain". Mari kita tinjau bagaimana Kolonel Sanders, orang yang mencipta resepi ayam goreng Kentucky Fried Chicken mencipta nama dan kejayaan. Kol. Sanders bersara pada usia 65 tahun. Ketika menerima duit pencen pertamanya, Kol. Sanders merasa cukup kecewa. Beliau tidak menyalahkan orang lain kecuali dirinya terhadap jumlah kecil yang diperolehinya. Beliau seterusnya memutuskan untuk memajukan resepi ayam goreng milik keluarganya kepada sebuah restoran. Malangnya, hasrat beliau ditolak. Adakah beliau berputus asa?? Tidakkk... beliau terus mengubah resepinya dan berjumpa dengan lebih ramai orang... orang ke-10 kata tidakk.... orang ke-100 kata tidakkkk... orang ke-1000 juga kata tidakkk... Tetapi orang ke-1008 kata ... "YA..RESEPI ANDA BAGUS". Sembilan tahun kemudian, setelah bisnesnya maju, Kol. Sanders telah menjual bisnesnya dengan harga US$2,000,000. Itulah ganjarannya bagi orang yang gigih dan sabar. Ganjaran bagi mereka yang mula mengubah haluan hidup setelah menyedari bahawa dialah yang bertanggung jawab atas siapa dirinya hari ini; dan dialah juga yang bertanggung jawab untuk memperbaiki pencapaiannya. Tanpa ciri-ciri ini Kol. Sanders mungkin merasa cukup sekadar menerima habuan pencen bulanan semata-mata.

Anda juga pasti mahukan kejayaan. Adakah anda telah berusaha ribuan kali seperti cerita Kolonel Sanders di atas??? Jauh panggang dari api. Ramai pelajar sekolah yang apabila menyelesaikan masalah matematik, sains dan lain-lain yang agak susah, hanya mencubanya setakat beberapa kali sahaja. Tidak sampai pun 10 kali. Inikah cara usaha anda yang impikan kejayaan? Ingatlah setiap masalah itu datang dengannya penyelesaian. Setiap cabaran itu datang dengannya habuan dan pulangannya. Teruslah berusaha... bukan setakat sekali, sepuluh kali..malah ratusan dan ribuan kali... Sedikit perbezaan membawa hasil besar. Yang kedua, untuk mendapat sepuluh kali ganda kejayaan daripada orang lain bukanlah bermakna anda perlu sepuluh kali lebih gigih, lebih kuat atau lebih bijak dari mereka. Anda hanya perlu berbeza sedikit daripada mereka sekeliling anda. Berbeza cara fikir, berbeza cara bertindak dan berbeza dalam menerima kenyataan hidup. Fokuskan minda anda untuk lebih baik
sedikit daripada manusia biasa. Ini membolehkan anda memperolehi pencapaian yang
luarbiasa, yang tidak terfikir oleh manusia biasa.

Cuba perhatikan peristiwa dibawah ini. Dalam satu perlumbaan kuda, kuda yang memenangi tempat pertama akan mendapat wang tunai RM100,000 ringgit. Kuda ditempat kedua pula mendapat RM20,000 ringgit. Kuda ditempat pertama mendapat ganjaran lima kali ganda lebih besar dari kuda yang kedua. Adakah ini juga bermakna kuda pertama 5 kali ganda lebih laju dari kuda yang kedua? Atau kuda pertama berlatih 5 kali ganda lebih bersungguh-sungguh dari kuda kedua? Atau kuda yang pertama ditunggangi oleh orang yang 5 kali lebih mahir dari kuda yang kedua? Jawapannya pasti sahaja TIDAK. Kuda pertama mungkin mendahului kuda kedua sekadar satu langkah sahaja ke garisan penamat. Ada ketikanya rakaman video perlu dilihat untuk menentukan pemenang. Mungkin kuda pertama mendahului seinci sahaja dari kuda kedua. Tetapi seinci ini memberikan pulangan 5 kali ganda lebih besar!

Begitulah juga dalam hidup ini. Anda perlu berusaha lebih sedikit dari orang sekeliling anda untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Persepsi membentuk diri. Yang ketiga ialah persepsi anda. Iaitu bagaimana anda melihat sesuatu yang berlaku terhadap anda dan disekeliling anda. Kehidupan bukanlah nasib tetapi lebih kepada pilihan. Anda boleh memilih untuk senang atau susah. Apabila anda memilih untuk hidup senang, dan sanggup berkorban untuk kesenangan maka tiada sesiapa pun yang boleh menghalang kehendak anda. Persepsi anda terhadap sesuatu natijah pastinya mempengaruhi emosi anda. Seterusnya ia akan mempengaruhi tindakan anda dan seterusnya pula menentukan hasil iaitu natijah dari tindakan tersebut. Turutan ini boleh dilihat dalam carta alir dibawah.

Dalam rajah ini, emosi anda terhadap apa sahaja yang berlaku terhadap anda bergantung kepada cara fikir yang terbentuk secara spontan. Apa perasaan anda apabila rakan anda tidak menunaikan janjinya untuk hadir dalam satu mesyuarat yang cukup penting? Saya yakin anda akan marah dan kecewa. Ini disebabkan anda fikir bahawa rakan anda tidak boleh diharap. Tidak berpegang pada janji. Suka menyusahkan orang lain dan sebagainya. Tetapi cuba ubah cara fikir anda sekarang. Cuba fikirkan, jangan-jangan ada kemalangan. Jangan-jangan ada yang jatuh sakit atau kematian. Bagaimana emosi anda sekarang? Adakah anda masih marah dan kecewa? Pasti tidak. Emosi anda kini berubah menjadi risau dan bimbang. Tindakan yang anda ambil bergantung kepada emosi anda. Emosi yang terbentuk pula dipengaruhi oleh cara fikir anda. Akhirnya hasil yang anda perolehi sebenarnya tidak lain dan tidak bukan, bergantung kepada cara fikir atau persepsi anda. Oleh itu, mulai saat ini mulalah pilih cara fikir yang menguntungkan anda. Yang membuatkan anda kelihatan hebat. Islam sendiri melarang kira berburuk sangka dan banyak bersabar. Ingat setiap apa yang berlaku mengandungi hikmah Allah yang tersembunyi. Janganlah lagi menjadi orang yang bertindakbalas secara spontan kepada keadaan dan persekitaran. Sebab tindakbalas spontan ini kebiasaannya merugikan kehidupan anda.

Ingatlah, kehidupan yang tergambar dalam kotak fikiran anda adalah kehidupan yang akan anda tempuhi. Ada orang tetap bersemangat walaupun berpuluh kali gagal sebab mereka tahu setiap kegagalan itu datang bersamanya pengajaran yang cukup bermakna. Ubah cara fikir anda. Ubah perancangan dan tindakan anda. Setiap kali gagal, cuba SEKALI LAGI menggunakan pendekatan baru. Ingat, Kolonel Sanders gagal lebih seribu kali. Apa yang anda perlu lakukan ialah berusaha lebih sedikit daripada manusia biasa untuk menjadi manusia luar biasa. Seterusnya mencapai kejayaan berlipat kali ganda seperti kisah lumba kuda tadinya.

Wednesday, March 24, 2010

BAGAIMANA MENGATASI TEKANAN MENTAL

BAGAIMANA MENGATASI TEKANAN MENTAL

Di dalam dunia yang serba pantas dan mencabar ini, manusia secara tidak langsung telah didorong untuk bekerja dengan lebih kuat agar lebih produktif, kompetitif, dan sentiasa maju ke hadapan. Begitu juga dunia pendidikan di mana remaja semakin ditekan oleh ibu bapa, guru, rakan sebaya dan kelompok masyarakat yang menaruh pengharapan yang amat tinggi agar mereka meraih kecemerlangan di dalam akademik. Ini membawa kepada masalah tekanan mental di kalangan remaja. Antara kesan negatif masalah ini ialah mereka akan merasa rendah diri, tidak bersemangat, mudah dirundung gelisah, kesedihan dan mengalami kelesuan.Berikut adalah beberapa tips bagaimana mengatasi masalah tekanan mental yang sesuai diamalkan oleh mereka yang menghadapi masalah tersebut, tidak kira sama ada mereka daripada kelompok pelajar ataupun yang sudah bekerja.

Bersikap realistik terhadap pekerjaan/tanggungjawab anda

i. Akui kekuatan dan kelemahan diri.
ii. Sentiasa berfikiran positif.
iii. Cuba melakukan yang terbaik di dalam pekerjaan.
iv. Memupuk sikap seronok bekerja/belajar.

Merancang kerja anda.

Kendali masa anda dengan bijak.

Beri keutamaan pada kerja yang penting. Jangan bertangguh.
Elakkan daripada membawa kerja pulang ke rumah. Jika anda seorang pelajar, kerja rumah adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun begitu, cuba habiskan kerja rumah anda pada masa lapang di sekolah.

Mengagihkan kerja dengan baik.

Meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah
Lihat masalah dengan rasional dan rancang penyelesaian secara sistematik.
Senaraikan semua masalah mengikut keutamaan dan langkah-langkah mengatasinya.
Nilaikan kesesuaian pada setiap langkah penyelesaian.
Ambil tindakan secara wajar.

Menerima sebarang perubahan dengan sikap yang wajar
Sentiasa bersikap terbuka terhadap apa jua perubahan yang berlaku.
Bersikap realistik terhadap segala perubahan dan mampu menerima keadaan yang di luar kawalan anda.
Bersikap positif dalam persekitaran yang mencabar.

Amalkan komunikasi yang berkesan
Biarlah bersikap lembut tetapi tegas daripada bersikap agresif.
Luahkan pendapat anda dengan penuh sopan, tegas dan jelas.
Hormatilah pandangan rakan anda.

Semaikan semangat bermasyarakat
Jalankan persahabatan dengan rakan-rakan anda.
Senaraikan individu dan organisasi yang mampu membantu anda menangani sebarang masalah.
Berkongsi masalah anda dengan mereka yang sedia mendengar dan boleh mempercayai.
Luangkan masa anda untuk membantu rakan yang bermasalah.

Amalkan cara hidup sihat
Luangkan masa untuk berehat dan bertenang.
Amalkan bersenam, pemakanan yang sihat, tidur yang mencukupi.
Jangan merokok, jauhi diri dari arak dan dadah.
Amalkan nilai-nilai murni dan berpegang teguh pada ajaran agama.

Wednesday, February 24, 2010

BAGAIMANA HENDAK MEMINTA MAAF

BAGAIMANA HENDAK MEMINTA MAAF
Memohon kemaafan merupakan sesuatu perkara yang amat sukar untuk dilakukan, namun ia akan menjadi lebih mudah dengan latihan dan disertai dengan pemberian hadiah.
Langkah-langkah:
Fikirkan apa yang telah berlaku dan perbuatan apa yang anda mahu dimaafkan.
Tuliskan perkara tersebut; ini akan membantu anda mengatur idea dan meredakan ketegangan perasaan anda.
Berlatih perkara yang anda hendak cakapkan sehingga anda merasa selesa dengannya.
Nyatakan dengan jelas perbuatan yang anda mahukan kemaafan.
Mengakui perbuatan anda tanpa mengemukakan sebarang alasan.
Berkongsi perasaan anda mengenai apa yang telah terjadi - elakkan daripada menyalahkan orang lain, membesar-besarkan cerita atau menyebut kata-kata yang sia-sia.
Mendengar respon daripada orang berkenaan tanpa mempertahankan diri.
Tawarkan diri untuk memperbaiki keadaan sekiranya sesuai.
Teruskan kehidupan. Apabila anda telah meminta maaf, lupakannya dan biarkan ia berlalu.
Panduan-panduan:
Fikirkan bahawa memohon kemaafan itu sebagai satu komitmen terhadap perhubungan dan bukannya satu kelemahan diri.
Ikhlas. Meminta maaf terhadap perkara-perkara yang anda benar-benar berasa bertanggungjawab terhadapnya; jangan meminta maaf hanya semata-mata untuk menjernihkan suasana.
Beri masa kepada orang berkenaan untuk menenangkan perasaannya - jangan berasa tawar hati sekiranya anda tidak dimaafkan sepenuhnya pada masa anda meminta maaf.

BAGAIMANA HENDAK JADI "SMART"?

BAGAIMANA HENDAK JADI "SMART"?

Oleh DR. ISMAIL ZAIN
[Selamat Pagi Cikgu - Utusan Malaysia]

KITA sering kali mendengar istilah "SMART" yang digunakan dalam melaksanakan pelbagai urusan. Pada umumnya sekiranya istilah tersebut ditujukan kepada manusia maka ianya membawa pengertian bahawa seseorang individu itu perlu menggunakan daya intelektualnya serta digabung dan diimbangkan dengan aspek fizikal dan spiritual supaya segala pilihan dan tugasan yang dibuat dapat menghasilkan sesuatu yang terbaik serta memberi faedah tanpa sebarang pembaziran.

Pada penulisan saya kali ini saya cuba menjadikan perkataan "’SMART" sebagai satu perkataan akronim serta membuat huraian bagaimana perkataan tersebut dapat menjadikan satu refleksi dalam urusan kehidupan harian kita.

Pada saya "SMART" membawa pengertian Sentiasa Mahu Ambil Risiko dan Tanggungjawab. Huraiannya adalah seperti berikut:-

· S (Sentiasa) – Sentiasa membawa pengertian sesuatu yang dilakukan itu perlulah secara konsisten atau berterusan. Kejayaan tidak boleh dicapai hanya dengan semalaman tetapi melalui ketekunan yang diamalkan setiap hari sedikit demi sedikit secara berterusan. Pepatah melayu ada mengatakan "Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit."
Usaha secara berterusan setiap hari dapat mengurangkan tekanan. Tekanan akan terasa sekiranya sesuatu tugasan itu dibuat hasil daripada tangguhan kerja dari masa yang lalu.
· M (Mahu) – Kemahuan adalah punca segala kejayaan. Ianya lahir dari jiwa yang suci. Kemahuan juga ada kaitannya dengan matlamat hidup. Seseorang yang mempunyai matlamat sama ada matlamat jangka panjang atau matlamat jangka pendek akan sentiasa bermotivasi dan berkeinginan untuk terus berusaha ke arah kejayaan berketepatanlah dengan pepatah melayu berbunyi " di mana ada kemahuan, di situ ada jalan."
· A (Ambil) - Segala keinginan tidak akan tercapai sekiranya kita tidak melakukannya. Dengan lain perkataan, sekiranya seseorang itu tidak mengambil inisiatif untuk melaksanakan segala yang diidamkan maka ianya hanya akan wujud dalam imaginasi dan ilusi sahaja. Oleh itu tindakan harus diambil untuk merealisasikan matlamat yang menjadi hasrat dalam jiwa kita. "Bulat tidak akan datang menggolek dan pipih tidak akan datang melayang" tanpa usaha yang gigih.
· R (Risiko) - Risiko membawa maksud cabaran. Kehidupan ini penuh dengan cabaran. Seseorang yang inginkan kejayaan harus sanggup menghadapi cabaran. Cabaran dapat menggerakkan kita ke arah kehidupan yang lebih dinamik. Manusia ingin mendaki Gunung Everest kerana ianya penuh dengan cabaran. Cabaran juga akan mematangkan seseorang itu dalam meniti usianya.
· T (Tanggungjawab) - Tanggungjawab adalah sifat yang amat diperlukan pada setiap individu. Seseorang yang bertanggungjawab akan berusaha untuk melakukan sesuatu tindakan yang dapat memberi faedah kepada dirinya, keluarga, masyarakat dan negara. Seseorang yang bertanggungjawab juga akan cuba mengelak membuat sebarang tindakan yang boleh mendatang kerugian serta keburukan.

Dari huraian yang ringkas tadi kita dapati seseorang yang "SMART" adalah mereka yang sentiasa mahu ambil risiko dan tanggungjawab.
Sebagai seorang pelajar, anda perlulah sentiasa mempunyai keinginan untuk menimba ilmu pengetahuan tanpa rasa jemu. Dalam proses menimba ilmu pengetahuan sudah tentulah anda akan menempuh pelbagai cabaran.

Sebagai seorang insan anda harus cekal menghadapi cabaran. Cabaran adalah merupakan mainan dan asam garam dalam kehidupan. Kesabaran adalah ubat yang paling utama dalam menghadapi cabaran dan kesabaran itu juga adalah separuh daripada iman. Sebagai seorang pelajar anda juga perlulah bertanggungjawab di atas segala tindakan. Anda perlulah percaya serta yakin terhadap kebolehan diri sendiri. Sekiranya anda yakin dan bertanggungjawab di atas segala tindakan yang anda lakukan, maka insyaAllah tindakan yang akan anda ambil itu adalah sesuatu yang diredhai Allah.

Oleh itu lakukan sesuatu tindakan itu dengan hati yang jujur dan ikhlas, tanpa dipaksa dan dengan penuh rasa tanggungjawab. Sebagai seorang guru pula sifat berani mengambil risiko dan tanggungjawab adalah merupakan sifat yang paling mulia. Sesungguhnya golongan guru sentiasa menanggung risiko dan tanggungjawab di dalam melaksanakan tugas mereka.

Risiko dan tanggungjawab ini dapat dilihat melalui pelbagai perancangan dan aktiviti yang dijalankan di sekolah-sekolah ke arah mewujudkan pelajar-pelajar yang cemerlang. Mereka lakukan ini tanpa mengira masa, wang ringgit dan tenaga.

Sesungguhnya seseorang yang takut pada risiko bukan sahaja membantutkan segala kreativiti yang ada pada diri mereka malah ianya merupakan penghalang ke arah proses anjakan paradigma.

Berdasarkan huraian di atas adakah anda seorang yang "SMART"? Buatlah satu refleksi diri sendiri berdasarkan ciri-ciri yang dihuraikan di atas.

Thursday, February 4, 2010

MENGGENGAM BARA

“Manusia adalah kejadian yang sempurna tetapi apa yang manusia lakukan selalunya yang kurang sempurna.”

“Tidak penting apa yang orang lain fikirkan tentang diri kita tetapi apa yang lebih penting ialah apa yang kita fikirkan tentang diri kita dan orang lain.”

“Perjalanan yang jauh bermula dengan langkah yang pertama. Oleh itu, kenalilah diri anda sebelum anda mengenali orang lain.”

“Lebih baik kita tahu apa yang kita tak tahu daripada kita tak tahu apa yang kita tahu.”

“Langkah pertama untuk menuju kecemerlangan adalah dengan mempunyai sikap yang betul terhadap diri sendiri.”

“Jangan mengharapkan harapan orang lain. Sebaliknya lakukannya sendiri.”

“Nilailah diri sendiri sebelum anda dinilaikan oleh orang lain.”

“Setiap label yang kita berikan pada diri kita akan mempengaruhi perlakuan dan prestasi kita.”

“Secara sedar atau tidak, kita yang meminta setiap apa yang berlaku pada diri kita.”

“Sebagai seorang insan, kita tidak boleh gagal dalam hidup ini kerana kita dicipta bukan untuk gagal.”

“Keinginan sejati untuk mengenal diri akan membantu anda menangani masalah sedangkan orang lain masih berlegar-legar di sekelilingnya.”

“Diri kita adalah sahabat yang paling baik atau musuh yang paling ketat.”

“Jangan mengharapkan orang lain menyayangi diri kita. Apa yang lebih penting ialah kita perlu menyayangi diri kita dan orang lain.”

“Setelah kita mengenali diri kita sendiri, kita akan menyedari bahawa kejayaan adalah hak mutlak kita.”

“Satu pegangan yang bodoh dan sia-sia adalah melakukan sesuatu yang sama berulang-ulang tetapi mengharapkan hasil yang berbeza-beza.”

“Kelemahan utama manusia bukanlah kerana ia tidak mendapat atau tidak memperoleh apa yang belum dapat dipunyainya tetapi adalah kerana kegagalannya menggunakan apa yang dipunyainya.”

Kekuatan diri datangnya dari rahmat Tuhan melalui kebolehan kita mengawal pemikiran kita.”

“Ego kita yang selalu mendorong supaya kita melihat kelemahan diri dan menghalang kita daripada melihat kekuatan diri. Untuk membanteras ego, kita perlu menyayangi diri kita tanpa syarat dan elakkan dari berpura-pura.”

“Kenal pasti kelemahan diri anda dan bertindak mulai sekarang.”

“Jangan takut kepada kegagalan kerana apa yang paling ditakuti ialah anda tidak mempunyai cita-cita untuk mencuba.”

“Sebagai seorang insan, kita tidak boleh gagal dalam hidup ini kerana kita dicipta bukan untuk gagal.”

“Kunci kepada kejayaan adalah dengan mengenali diri sendiri.”

“Jika mahu menjadi manusia yang berjaya, jangan sekali-kali memikirkan tentang kegagalan.”

“Kegagalan itu hanyalah kekalahan sementara tetapi kekecewaan adalah kegagalan yang berkekalan.”

“Jangan takut kepada matlamat yang gagal dicapai kerana yang paling ditakuti ialah tiada matlamat untuk dicapai.”